Thursday, June 24, 2010

DI SEBALIK KEMEGAHAN SEKOLAH CINA DAN KEANEHAN SEKOLAH AGAMA.

Baru-baru ini saya terbaca satu artikel di dalam sebuah majalah berkaitan tentang sekolah agama. Dimaksudkan di sini bukan “Sekolah Kebangsaan Agama” tetapi sekolah agama yang biasa atau dikenali sebagai sekolah agama waktu petang (bahasa orang Johor). Artikel itu melaporkan tentang keadaan sekolah agama di negeri Selangor yang begitu daif dengan kemudahan asas yang begitu terhad dan menyedihkan. Berbeza di negeri Johor kebajikan sekolah agama diambil berat kerana sistem sekolah agama telah bermula semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan kerana itulah sistem sekolah agama di Johor dilihat lebih teratur. Ketika itu sekolah agama dikenali sebagai madrasah. Fungsi utamanya pada waktu itu lebih menekankan soal pendidikan agama dalam menyekat penyebaran ajaran Kristian, kerana pada waktu itu sistem pendidikan dikuasai oleh penjajah Bristish yang membuatkan masyarakat melayu pada waktu bimbang penyebaran agama Kristian melalui pendidikan tersebut. Mengakui pendidikan di sekolah Inggeris amat perlu untuk masa depan anak-anak mereka, pendidikan agama tidak diketepikan sebaliknya dititikberatkan melalui kelas tambahan agama dimadrasah. Setelah sekian lama sistem terbaik ini masih lagi diteruskan, malah ada negeri-negeri di Malaysia yang mula mengikut sistem pendidikan ini, walaupun tidak diwajipkan tetapi pemikiran orang melayu dalam menitikberatkan didikan agama kepada anak-anak mereka masih lagi di paras kesedaran. Tetapi jangan tahu belajar sahaja,pratikan juga. Kerana menurut hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim “Daripada Abu Hurairah r.a Sesungguhnya Allah s.w.t, tidak meliaht kepada fizikal dan juga paras kamu, tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.

Saya tidak pasti sama ada keadaan pembelajaran dulu sama seperti sekarang, di mana seorang pelajar mempunyai 2 sekolah untuk dipenuhi dalam sehari (waktu persekolahan).Walau bagaimanapun pada zaman sekarang pendidikan sekolah agama telah dikemaskini dan mantapkan lagi. Dari penggunaan nama madrasah sehinggalah ditukarkan kepada sekolah agama, serta ditambah dengan peperiksaan akhir tahun dimana sekiranya gagal maka tidak untuk ke peringkat pengajian seterusnya dan terpaksa mengulang pembelajaran sehingga lulus. Sistem pendidikan ini bercorakkan seperti didikan tambahan, kerana kerajaan sedar pendidikan agama Islam begitu meluas dan bukan sekadar sembahyang, berpuasa, mengaji, dan berzikir tetapi juga meliputi ekonomi (muamalat), hukum sosial (jenayat, faraid, munakahat), ibadat-ibadat yang diterangkan dengan lebih teperinci. Berbeza di negeri lain yang baru melaksanakan sistem pendidikan tambahan ini memanglah dianggap sedikit kelam kabut. Maklumlah seperti yang saya katakan tadi tidak seperti di negeri Johor yang telah sekian lama bermula. Namun sebagai seorang Islam saya agak sedih dengan kemudahan asas yang saya lihat dalam artikel itu. Tidak terkecuali di Johor kerana sebelum ini juga saya mendengar laporan berita tentang masalah yang sama, walaupun tidak seteruk di Selangor namun sedikit sebanyak memberi persepsi kurang baik dikalangan masyarakat bukan Islam.

Tidak seperti sekolah kebangsaan dan menengah, sekolah agama di bawah peruntukan enakmen negeri, maka segala peruntukkan sepenuhnya diselia oleh kerajaan negeri tanpa campur tangan kerajaan pusat. Saya kurang pasti dengan sekolah cina dan tamil adakah dibawah senarai negeri ataupun dalam senarai bersama. Namun konsep pendidikan sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, dan sekolah kebangsaan ada perbezaannya iaitu keperluan dalam tuntutan masyarakat. Tetapi tidakkah anda pelik dengan pembangunan sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang begitu pesat lebih dari sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan yang diselia oleh kerajaan pusat dan negeri pun tidak sehebat begitu. Apa rahsia sekolah cina dari mana mereka mendapat peruntukan? Arwah ayah saya merupakan bekas guru kepada 3 buah sekolah cina, sedikit sebanyak saya dapat berkongsi dengan anda tentang peruntukan sekolah tersebut. Selain itu juga saya berkawan dengan ramai pelajar dari sekolah kebangsaan cina lalu dari situlah saya dapat jawapan untuk saya kongsikan kepada anda didalam artikel ini.

Seperti sekolah kebangsaan dan menengah, sekolah cina juga mempunyai Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), namun bak kata pepatah lain padang lain belalang, lain tempat lainlah perlaksanaannya. Hubungan yang rapat dimainkan dan peranan oleh ibubapa dalam membantu pihak sekolah untuk pendidikan anak-anak-anak mereka patut kita puji. Mereka sedar jika mengharap peruntukan dari pihak kerajaan belum tentu dapat, jika dapat pun bukanlah seperti yang diharap-harapkan. Banyak sekolah yang kerajaan nak jaga jadi faham-fahamlah ya, bukannya kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab. Atas dasar kesedaran itu, munculah dermawan-dermawan dari ibubapa yang membantu pihak sekolah bagi mendapatkan peruntukkan untuk pembangunan sekolah. Selain itu, wakil-wakil rakyat yang berbangsa cina turut membantu menyumbangkan dana untuk sekolah ini. Anda rasa pelik tak?

Saya sangat berasa pelik, mengapa sekolah agama tidak melakukan cara yang sama dalam mendapatkan peruntukkan untuk pembangunan sekolah mereka. Saya berani berkata begini kerana saya 8 tahun mendapat pendidikan di sekolah agama, mengapa saya lebih setahun kerana saya sangkut setahun ketika darjah satu. Saja menyelitkan unsur humour dalam artikel ini. Dalam 8 tahun itulah saya mendapati ada sikap sebahagian (bukan semua) guru agama yang cuba “mengerejakan” sekolah agama. Mungkin saya agak keterlaluan tetapi itulah hakikatnya. Ketika zaman renaissance di eropah, paderi-paderi gereja menentang sains dan teknologi yang pada ketika itu begitu memonopoli minda sosial masyarakat eropah. Mereka menanggap sains ialah keduniaan dan sekular yang menyesatkan manusia. Namun pada zaman saya itulah ayat yang digunakan oleh sebahagian guru-guru sekolah agama. Apakah mereka tidak kenal Islam dengan lebih terperinci. Saya bukan mereka cerita kerana perkara ini berlaku di depan mata saya sendiri malah bukan sekali, tetapi fahaman salah tentang Islam banyak berlaku di sekolah agama saya waktu itu. Contoh ayat-ayat yang paling popular “ Ilmu sekolah kebangsaan ilmu orang kafir, dia hanya membawa kamu semua ke neraka” dan malaikat tidak akan bertanya soalan matemaik, soalan sains di dalam kubur nanti”. Itulah ayat yang dapat saya kongsikan untuk anda bagi menilai salah satu anggapan yang salah tentang Islam. Saya bukan mengutuk tetapi sekadar melahirkan tanda tidak setuju saya. Saya percaya jika saya menangkat tangan lalu membantah pada waktu itu, nescaya saya akan digelar kafir nanti. Berdasarkan contoh situasi yang saya beri dapatlah kita mengngagak mengapa pembangunan sekolah agama begitu suram.

Walaupun sekolah agama diibaratkan sebagai didikan tambahan namun, keselesaan,kemudahan dan kepekaan masyarakat perlu diambil serius. Mentaliti masyakat kita yang menganggap Islam lebih kepada kesederhanaan telah disalah tafsir. Kederhanaan dalam Islam sebenarnya dilihat dari aspek yang tidak bermegah-megah dan membazir dalam merasai nikmat dunia, tetapi dalam kes ini adalah dikategorikan sebagai kemiskinan dalam keselesaan mendapat pendidikan. Tidak semestinya kekayaan menjerumus kepada keduniaan dan kemiskinan pula mendekatkan diri kepada akhirat. Sikap sebilangan guru sekolah agama yang begitu mengkritik sistem sekolah kebangsaan dan menengah seolah-olah seperti haram ditiru. Kerana itulah sekolah agama saya pada waktu itu tiada PIBG. Alhamdulilah,zaman berganti zaman, generasi baru mengantikan generasi lama telah memperlihatkan perubahan mentaliti guru-guru sekolah agama, mereka belajar apa yang dilakukan oleh pentadbiran sekolah kebangsaan, dalam menjadi sistem pendidikan sekolah agama lebih tersusun. Saya mencadangkan sekolah agama perlu juga memohon sumbangan dari ibubapa seperti disekolah cina. Tidak salah meminta bantuan kewangan dari keluarga demi kepentingan pendidikan anak-anak mereka kerana bersedekah memang sangat dituntut di dalam Islam. Dan ibubapa pula tidak perlulah cerewat untuk menghulur. Tetapi apa yang merisaukan saya adakah masyarakat melayu kita seperti masyarakat cina? Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang ketika itu menjadi menteri pelajaran pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak disangka-sangka dan mungkin membuatkan sebahagian orang melayu marah. Lebih kurang begini kenyataan beliau Kalau nak bayar, bayar kalau tak nak sudah,kalaulah kerana RM 20 menjadi bebanan kepada ibubapa daripada masa depan pendidikan anak-anak mereka tak perlulah bayar. Saya berasa hairan bila melihat ibubapa pelajar sekolah cina yang boleh turun bersama-sama membersihkan kawasan sekolah ketika musim banjir” . Mungkin ada yang marah tetapi pada saya mengapa terlalu berkira kerana duit itu adalah untuk kemudahan anak-anak mereka. Cubalah kita munasabah diri, pernahkah kita menggunakan wang kita sesuatu perkara dimana kita tidak mati jika tidak melakukan perkara itu seperti beli baju untuk dipakai 2 kali, lepas tu terperap kat almari, tengok cerita Razak Mohaiden ke, beli rokok 20 batang ke dan macam-macam lagi. Cuba kita bayangkan lagi adakah rugi, jika kita sedekahkan duit itu kepada pembangunan sekolah demi kelesaan anak-anak kita, malah sedekah kita itu tidak mati begitu sahaja malah amalan itu akan membantu kita di akhirat kelak. Segala amal yang baik walau sepatah kata Tuhan akan memberi balasan berlipat ganda. Satu lagi yang saya nak kongsi yang tiada kena mengena dengan topik ini ialah sikap orang melayu yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah agama dengan alasan sijil sekolah agama tidak laku dalam pasaran kerja. Ini namanya pemikiran cetek, semua ilmu berguna memang diakui ada yang berjaya tanpa sijil sekolah agama tetapi agama membentuk keperibadian seseorang. Mahukah kita melihat kejayaan anak-anak kita dari rumah orang-orang tua ataupun berjaya tetapi dengan Allah semakin jauh, sudah tentu di akhirat alam yang kekal abadi mereka akan tersungkur. Kalaulah itu alasan mereka dengan mengaitkan terhadap pasaran kerja kenapa belajar anak gosok gigi sedangkan yang nak digunakan akal bukannnya gigi untuk berfikir.
Memang saya belum ada anak lagi, mungkin ada yang cakap saya tak tahu apa-apa pasal pendidikan anak-anak. Tidak mengapalah, walaupun panas hati dan telinga. Jika saya ada anak suatu hari nanti saya takkan berkira untuk membantu pihak sekolah dalam membantu memartabatkan pendidikan sekolah lebih-lebih lagi jika sekolah itu ke arah kebaikan masyarakat melayu khususnya. Sekian

TAKSUB

Baru-baru ini saya menonton satu video ceramah agama yang disampaikan oleh seorang tokoh politik melalui laman web youtube. Tokoh itu mengulas topik tentang perlantikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai nabi dan rasul kepada umat manusia. Saya sangat tidak bersetuju dengan kenyataan penceramah tersebut dimana dia mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w merupakan orang yang biasa sahaja sebelum dilantik menjadi rasul dan ada juga menyebut bahawa Allah s.w.t memilih rasul dengan melihat siapa yang paling layak dikalangan penduduk Mekah pada waktu itu dan akhirnya Nabi Muhammad dipilih. Apakah ulama perasan beranggapan bahawa perlantikan rasul dibuat seperti pemilihan seorang senator, ketua darjah, ketua belia bahagian dan sebagainya,dari mana dia belajar? Kenyataan penceramah cap ayam ini bukan sahaja salah, malah boleh dianggap juga menghina urusan Allah s.w.t. Namun bukan ini yang saya mahu sampaikan disini, apabila saya melihat komen para penonton di laman youtube tersebut, nampaknya bukan seorang sahaja yang membuat kesilapan kerana ada yang menyokong kenyataan tersebut. Mengapa mereka menyokong? Inilah yang dikatakan“TAKSUB”.

Sebelum ini juga saya pernah menonton satu video dari laman web yang sama tentang seorang tokoh politik tanpa berselidung menyatakan bahawa dia berkawan baik dengan seorang tokoh Yahudi yang begitu anti kepada Islam. Namun saya agak begitu fokus dengan 2 komen yang diberikan oleh penonton yang pertama “ berkawan dengan Yahudi lebih baik dari berkawan dengan orang UMNO” dan yang ke-2 “ Kejahatan terhadap orang Yahudi adalah rekaan dari pihak UMNO”. Wah… nampaknya dosa orang Yahudi terhapus secara langsung kerana pemimpin kesayangan mereka berkawan dengan orang Yahudi. Kenapa ini berlaku? Inilah “TAKSUB”, pemikiran yang semakin menjalar di dalam minda umat manusia.

Dalam Islam kita tidak pernah diajar supaya taksub kepada seseorang walaupun dengan Rasulullah s.a.w sendiri. Harus kita ingat taksub dan taat merupakan dua perkara yang berbeza. Taat membawa kepada suatu keadaan yang tidak kita tidak menentang kearah sesuatu kebaikan, sekiranya ada sesuatu yang kita ingin sampaikan, ingin mendapat kepastian ataupun kurang bersetuju kita harus mengutarakan kepada orang yang kita taati itu. Berbeza dengan taksub dimana salah ataupun betul kita akan ikut sahaja tanpa langsung untuk berfikir sejenak. Jika betul tidak mengapa, tetapi jika apa diperkatakan itu salah maka buruk padahnya yang akan menimpa masyarakat. Rasulullah merupakan seorang yang mendapat wahyu,mukjizat, dan kesempurnaan yang ada dirinya, masih tetap menggunakan Majlis Syura dalam pentadbiran. Ini menunjukkan bahawa baginda sendiri meminta pandangan para sahabat dalam membuat keputusan dan tidak mengunakan statusnya sebagai rasul pilihan Allah dalam membuat setiap keputusan sendiri. Ketika mengajar pula Rasulullah s.a.w, sering ditanya oleh umatnya pada waktu itu namun baginda tidak pula marah dan mengeluh, baginda menjawab seperti biasa. Dan sekiranya baginda tidak dapat menjawab baginda akan memohon petunjuk dari Allah s.w.t, baginda tidak menghentam sahaja, walaupun pada waktu kita tahu penduduk Mekah akan mempercayai apa sahaja yang diperkatakan oleh baginda. Namun,itulah Rasulullah, baginda berjuang diatas nama Allah bukan untuk kepentingan populariti dan sanjungan. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang boleh kita renungkan bersama Drpd Rafi bin Kharij r.a Sesungguhnya aku (Rasulullah s.a.w) hanyalah seorang manusia. Jika aku menyuruh kamu dengan sesuatu dari urusan agama maka terimalah dia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu urusan (urusan dunia) maka aku hanyalah seorang manusia.”

Berdasarkan contoh ini dapatlah kita membezakan diantara 2 perkara taat dan taksub. Ada dikalangan umat Islam mengamalkan sikap berlebihan di dalam agama. Ajaran sesat merupakan diantara beberapa kesan akibat punca ketaksuban kepada individu tertentu. Tidak salah sekiranya kita bertanya sekiranya kita mahu mendapat kepastian. Pernah berlaku kepada saya kita saya di bangku sekolah. Saya pernah bertanya kepada guru saya tentang bab peyembelihan, oleh kerana guru saya tidak dapat menjawab maka terus dia menyelarkan saya sebagai seorang yang mempersoalkan tentang hukum Islam. Saya bukan mempersoalkan tetapi hanya ingin tahu namun disinilah kita dapat melihat fahaman yang salah tentang Islam yang secara tidak langsung menjerumus kepada unsur ketaksuban. Menurut satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh imam Muslim dan Al-Bukhari “ Daripada Saad bin Abi Waqqash r.a Rasulullah bersabda sesungguhnya dosa orang Islam yang paling besar pada orang Islam ialah orang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan ke atas manusia lalu ia diharamkan kerana pertanyaanya.” Rasullulah sendiri tidak pernah menyelar umatnya sekiranya mereka bertanya walaupun soalan itu agak keterlaluan. Ajaran Islam mengajar kita menganalisis sesuatu perkara melalui analisis kita dapat melihat lebih daripada yang kita sangkakan. Dan kerana inilah sains dan teknologi berkembang di dunia disebabkan teori-teori sains yang terdapat di dalam Al-Quran dan juga Hadis. Tidak hairanlah ada diantaranya ayat Al-Quran dan Hadis itu begitu ditujukan oleh orang yang hidup pada masa akan datang ketika zaman Rasulullah s.a.w. Taksub juga boleh membawa kita kepada syirik, kerana apabila kita memuja dan mengagungkan seorang lebih dari sepatutnya. Seperti kita lihat dakwaan salah seorang pengikut kumpulan tertentu yang menyatakan ketua mampu menyembuh penyakit, berkuasa menjatuhkan musibah, mampu mengetahui masa hadapan dan macam-macam lagi, seolah-olah kekuatan mereka setanding dengan Tuhan, Nabi sendiri pun tidak pernah bercakap begitu walaupun nabi mempunyai mukjizat.

Seperti yang pernah saya katakan dulu, sebagai penghuni di zaman yang begitu mencabar ini kita perlu memperbanyakan ilmu, agar terhindar dari perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Kita tidak boleh berguru dengan seseorang sahaja dan terus menganggap apa yang ada pada kita sudah mencukupi. Ini juga dikatakan taksub, iaitu taksub kepada diri sendiri. Kita perlu ingat bahawa kita sewajar taat kepada agama bukan taksub kepada agama. Saya berkata begitu kerana ada diantara ajaran-ajaran yang disampaikan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Apabila kita taksub kita tidak melahirkan sesuatu untuk kita mendapatkan ulasan yang lebih lanjut dan hanya menerima apa sahaja yang dikatakan kepada kita. Seperti yang boleh saya berikan di sini ialah membaca Al-Quran. Ada diantara kita membaca Al-Quran kerana disuruh dan lantas kita terus mengikutnya tetapi kita tidak terfikir mengapa kita perlu membaca Al-Quran sehingga ada yang membanggakan mereka sudah khatam lebih dari 10 kali. Sekiranya kita bertanya maka jawapannya “ Ikut saja, kau nak masuk neraka” Ada satu peristiwa yang saya teringgat apabila ada seorang artis yang ditahan kerana meminum minuman keras lantas ibunya tidak percaya kerana anaknya itu telah beberapa kali khatam Al-Quran. Di sinilah kita dapat melihat bahawa masyarakat kita masih menganggap Al-Quran itu hanya sekadar untuk dibaca tetapi tidak untuk diperlajari, dianalisis, dan diamalkan. Al-Quran bukan diturunkan hanya untuk dibaca sahaja sebab itulah Allah berfirman Al-Quran ini adalah panduan untuk manusia. Bagaimanakah untuk menjadi panduan sekiranya kita tidak tahu apa yang ada di dalam Al-Quran. Seperti yang saya tekankan tadi, tidak salah jika seseorang itu bertanya “mengapa” “apa” dan “kenapa”. Kerana Islam sentiasa ada jawapannya. Tidak bersetuju dengan seseorang bukanlah dikatakan sebagai menentang tetapi kerana ingin mendapat kepastian ataupun menegakkan fakta dan kebenaran yang tidak kita diketahui. Sekian.

Monday, June 21, 2010

PIALA DUNIA DAN EGO SEORANG PENGADIL

Pagi 12 jun (2.30 pagi) saya gagah diri untuk melihat pasukan Perancis beraksi menentang Uruguay. Posisi meletakkan seorang penyerang dihadapan disamping 2 orang lagi penyerang membantu merupakan posisi yang cukup popular dalam kancah bola sepak eropah sekarang. Thiery Henry dibantu oleh Nicholas Anelka dan Govou. Tiada kelibat Florent Malouda dalam posisi kali ini. Pada mulanya saya beranggapan Malouda akan digandingkan bersama Anelka sebagai pembantu Henry pada bahagian serangan tak apalah mungkin ini taktik Domenech dalam fikiran saya. Masakan tidak saya berfikir begitu kerana persembahan mereka untuk Chelsea pada musim ini cukup membanggakan, serta membantu Chelsea mendapat kejuaraan treble.45 minit berlalu serangan pasukan Perancis begitu hambar sekali. Separuh masa kedua bersambung namun Perancis gagal memperlihatkan mereka sebagai naib juara piala dunia 2006 di Jerman. 15 minit lagi untuk wisel penamat ditiup barulah Domenech memasukan ‘key player Chelsea’ Flourent Maloud tetapi sudah terlambat. Perlawanan seri tanpa jaringan.Hari berikutnya saya menonton pasukan England pula, tak payahlah saya mengulas panjang, naik meyampah saya. Tidak seperti perlawanan kelayakkan dulu, aksi England membosankan. Penyingkiran Theo Walcott dari skuad England cukup membuatkan peminat England terkilan untuk meyaksikan aksi penyerang dalam kelompok 5 penyerang terpantas di dunia itu. Ketika beraksi dalam pusingan kelayakkan England mengunakan posisi 4-3-2-1, Heskey merupakan penyerang utama dan dibantu oleh Wayne Rooney dan Theo Walcott. Adakalanya juga posisi Walcott diambil alih oleh Defoe dan Wright Philips. Heskey berperanan sebagai pengacau kepada benteng pertahahan bagi membuka ruang untuk Rooney dan Walcott melancarkan serangan dibahagian tepi. Kepantasan mereka dan kekebalan Heskey membuatkan England mempamerkan aksi menghiburkan dengan serangan yang merbahaya. Tak hairanlah sekurang-kurangnya 2 gol yang akan dijaringkan oleh England.

Tetapi…. Semuanya berubah setelah kejohanan berlangsung, saya mulai dengan pasukan Perancis. Selepas mencatatkan keputusan seri ketika menentang Uruguay, saya membaca akbar yang mempaparkan Domenech mempunyai masalah dengan Malouda yang menyebabkan dia tidak diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Perancis. Mengapa wujud unsur kronisme dalam membawa cabaran kebangsaan. Pada pendapat saya Malouda lebih pantas dan bijak daripada Govou, mengapa dia perlu disisihkan hanya kerana tidak bersefahaman dengan jurulatih, mengapa Domnech perlu ego. Keegoan Domenech mungkin akan memyebabkan sejarah buat Perancis akan berulang ketika di Piala Dunia 2002, apabila Perancis gagal layak ke pusingan ke-2 malah tidak menjaringkan sebarang gol pun ketika itu. Kekalahan 2-0 kepada Mexico telah memperlihatkan sejarah itu semakin hampir.

Dalam skuad England pula, cukup menghampakan saya, sudahlah Theo Walcott tidak beraksi malah, penukaran posisi kepada 4-4-2 yang memperlihatkan Heskey bergandingan dengan Rooney jelas menampakkan ketidakkeserasian mereka. Seri 1-1 dengan U.S.A dan seri tanpa jaringan dengan Algeria boleh dijadikan bukti. Akbar pada 22 Jun 2010, melaporkan John Terry bersama Steven Gerrard, Frank Lampard dan David James, memujuk Fabio Capello jurulatih skuad England, untuk menukar posisi dan mengugurkan Heskey dalam kesebelasan utama, tetapi malangnya dia enggan. Mengapa Capello sukar untuk menerima pandangan, walhal cadangan itu diutarakan oleh pemainnya yang ada kelas tersendiri.Mereka juga adalah pemain bola sepak yang cemerlang yang mungkin satu hari bakal menjadi jurulatih seperi Capello. Posisi 4-3-2-1 dengan mengantikan Heskey dengan Joe Cole adakah dilihat sesuatu yang tidak masuk akal pada Capello. Joe Cole merupakan pemain yang cemerlang dalam kelab EPL berbanding Heskey yang gagal menyerlah pada musim ini. Apakah yang difikir oleh Capello, bukankah dia pernah mengunakan posisi ini malahan taktik ini juga digunakan oleh pasukan yang lain. Adakah Capello dan Heskey bersaudara, tidak pernahkah Capello melihat pretasi Joe Cole di kelabnya.

Tidak perlulah saya membebel lagi kerana, 2 orang jurulatih yang ego ini tidak tahu berbahasa melayu untuk membaca pandangan saya. Namun jika diilihat kedudukan sekarang skuad England masih lagi berpeluang untuk melangkah ke pusiangan ke-2 sekiranya menang dengan Slovenia. Berbeza dengan Perancis seperti telur dihujung tanduk, mereka perlu menang bukan sahaja menang malah menang besar melebihi 3 gol, di samping mengharapkan kemenangan diantara pasukan Mexico dan Uruguay dan perlawanan mereka mestilah tidak memperlihatkan jaringan yang besar. Boleh ke ???????



Sunday, May 23, 2010

RASA

Rasa, rasa, rasa

Adakah kita sedang berasa sesuatu sekarang

Ataupu orang lain merasakan sesuatu yang kita rasai sekarang

Mungkin itulah perasaan yang kita rasai

Kadang-kadang teringin rasakan apa yang orang lain rasa

Namun bukan mudah untuk dirasa

Kerana bukan rezeki kita untuk merasa

Dan rasa itu bergantung kepada sesiapa yang menanggung rasanya


Kita bukan sekadar merasa

Tetapi juga menilai apa yang kita rasai itu

Mungkin lain rasanya daripada orang lain yang rasakan

Rasakanlah apa yang ingin kita rasa

Setiap rasa berbeza apa yang orang lain rasai

Rasakan juga sesuatu yang sukar kita rasa dari sana

Tetapi merasakan ada sesuatu

Yang mungkin tidak dirasai oleh orang lain

Adakah mahu merasakan seorang diri

Dan tidak mahu berkongsi merasai bersama


Perlukah tunggu untuk merasa

Dan tidak pergi atau elak sebelum kita merasainya

Daripada kita terus terasa yang kita tidak mahu rasai

Harus diingat merasa dan berasa lain maknanya

Walaupun ada sebutan rasa

Berasa nampak dan merasa tak nampak

Di situlah beza kedua rasa itu


Merasakan sesuatu yang kadangkala kita rasa sukar untuk rasakan

Namun orang lain boleh merasa

Sekiranya kita kongsi rasa itu bersama

Dan rasakanlah lalu fahami rasa itu

Semoga apa yang kita rasa sama dengan orang lain rasa

Dan begitulah dikatakan kita rasai bersama

Walaupun rasa itu pahit atau rasa manis

Namun sekiranya semua rasa

Kita akan rasa puas dengan apa yang kita rasai.

Daripada

salihsakuragi

Situasi Sama Tetapi Mengapa Keputusan Berlainan

Assalamualaikum, mungkin ramai yang tak pernah mendengar ungkapan ini “ Situasi Sama Keputusan Berlainan” . Ungkapan ini saya terucap secara spontan ketika saya berbual dengan seorang kenalan. Artikel kali ini pendek bagi bertujuan menjelaskan lebih lanjut tentang ungkapan ini kerana mungkin saya akan gunakan untuk masa yang akan datang.

Dalam dunia sekarang yang banyak memperlihatkan manusia yang ego, situasi menegakan tali raffia yang basah sering terjadi. Sikap yang tidak mahu mengalah, tidak positif, bodoh sombong,angkuh, pentingkan diri membuatkan manusia tidak mampu menilai keadaan secara adil dan betul..

Dalam perkara kecil yang berlaku di sekeliling kita, kita dapat melihat di mana ada yang cuba berlagak pandai dalam menilai seseorang tetapi “ kata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih”. Dalam membicarakan soal ADIL kita tidak seharusnya memfokus kepada kesalahan jenayah, mahkamah, hakim dan sebagainya. Kita juga perlu melihat konteks adil lebih dari itu. Adil dalam membuat keputusan, adil dalam memberi penilaian dan adil dalam berhujah. Kita pernah melihat situasi di mana apabila apabila seorang memberikan sesuatu pendapat lalu pendapatnya ditentang kerana orang yang menentangnya itu merasakan yang dia lebih bijak daripada orang tadi. Walaupun pendapatnya benar tetapi keadaan sekarang tidak mementingkan dari mana kebenaran itu datang tetapi dari siapa kebenaran itu datang. Sekiranya kebenaran itu datang dari orang yang dia suka maka perkara itu adalah benar tetapi jika orang itu adalah orang yang dibenci sebaliknya pula. Mungkin saya perlu mengingatkan anda semua tentang kisah Imam Ghazali yang telag ditegur oleh seorang perompak. Ketika Imam Ghazali dirompak dia meminta perompak itu supaya tidak mengambil segala buku catatannya. Perompak itu lantas berkata “Bukankah lebih baik jika kau buat sesuatu supaya catatan itu tidak boleh diambil. Kata-kata itu telah memberi ilham kepada Imam Ghazali. Bermula hari itu dia mula menghazal segala yang dicatatkannya. Di sinilah kita lihat di mana sikap seorang ulama yang tidak mempedulikan dari siapa kebanaran itu datang walhal dia seorang ulama manakala yang menegurnya seorang perompak, dapatkah anda melihat perbezaan status dan martabat mereka berdua.

Berbeza pula dengan hari ini, sekiranya kita bercakap sesuatu maka ada segelintir yang mempersoalkan krebiliti kita langsung tidak membuka minda untuk mendengar, menilai dan memahami tentang apa diperkatakan.Tetapi jika diucapakn oleh seorang yang mempunyai populariti maka perkara itu diberi perhatian yang serius. Di situlah kita dapat lihat situasi sama (menyatakan tentang kebenaran) keputusan berlainan (dalam menerima kebenaran tersebut.)Dalam berbicara soal kebenaran perkara itu mestilah disertakan dengan bukti. Ulama berbicara soal agama diiringi dengan nas Al-Quran dan Hadis, peguam berdebat melalui keterangan saksi, professor berhujah dengan fakta dan kajian. Oleh itu tak salah kita mendengar, kerana ada faktor yang membuatkan perkara itu benar.

Banyak perkara yang boleh kita lihat disekeliling kita tentang penyakit ini, namun sebagai manusia tidak perlulah kita terlalu emosional dan bertegang urat dalam menegakkan pandangan kita. Meman sukar untuk meyedarkan manusia yang perpaksi kepada keegoan dalam berbicara namun manusia yang professional dan matang mereka bijak berbicara. Biasanya mereka mengeluarkan kata-kata sinis untuk mereka memangkah dan mematahkan hujah yang rapuh tetapi cuba digam dengan air liur.Itulah yang kita dapat lihat yang dilakukan oleh Tun Dr.Mahathir dan Dr.Chandra Muzaffar ketika menghentam Negara Uncle Sam dan Israel. Sebenarnya kebenaran pada hakikatnya memang boleh diterima cuma manusia bukan tidak mahu mengaku tetapi malu untuk mengaku.

Siapa Dia Ulama ?


Membaca tajuknya mungkin ramai yang beranggapan yang saya cukup kurang ajar dan melampau kerana mempertikainya krebiliti seorang ulama. Namun saya tertanya-tanya siapa dia ulama? Apakah krebiliti seorang untuk yang cukup melayakkan mereka digelar sebagai ulama. Sebelum saya bercerita lebih lanjut, terlebih dahulu saya ingin mengingatkan bahawa saya bukan tidak menghormati ulama, jangan salah faham, saya sebenarnya hanya ingin berkongsi pandangan dengan anda tentang sebahagian sikap manusia yang taksub kepada individu tertentu yang dianggap ulama dan individu yang mengaku dirinya seorang ulama.

Saya bermula dengan pengalaman saya ketika berbual dengan seorang kenalan. Ketika berbual saya mempertikaikan pendapat seorang yang dianggap sebagai ulama padanya. Seperti yang disangka kenalan itu menegur saya kerana itu adalah pendapat ulama maka wajip dipatuhi. Lalu saya memembacakan sebuah hadis sahih dan sepotong ayat Al-Quran bagi menguatkan hujah saya itu. Namun saya sangkakan mulanya kenalan itu bersetuju dengan kesilapan ulamanya tersebut tetapi sebaliknya. Padanya pendapat ulama haram dipertikaikan tetapi saya ingin bertanya,sekiranya apa yang dikatakan oleh ulama itu bercanggah dengan Al-Quran dan hadis adakah pandanganya itu masih diterima pakai? Imam Syafie yang merupakan ulama fiqh yang mashyur pernah berkata “Sekiranya kamu berjumpa hadis sahih yang bercanggah dengan apa dikatakan oleh aku maka segala yang dikatakan oleh aku adalah terbatal (secara langsung)”. Di sini kita dapat melihat bahawa seorang ulama adalah pendokong Al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan utama mereka. Mereka tidak akan mengeluarkan kata-kata yang secara langsungnya bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis. Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa wujudnya ulama yang benar dan yang palsu yang berada disekeliling kita.

Tidak seperti nabi gelaran ulama, bukanlah datang secara lantikan.Seperti kita tahu, mufti, pendakwah, pegawai agama dan sebagainya merupakan tergolong dalam kategori ulama. Namun setelah mereka bersara daripada jawatan tersebut mereka tiada lagi digelar mufti (contohnya) sebaliknya mereka digelar bekas mufti. Namun gelaran ulama akan terus dipikul kerana ilmu yang ada padanya. Gelaran ulama bukanlah diberi secara rasmi oleh seseorang individu kepada individu tertentu tetapi diberikan secara tanggapan atau perspektif oleh masyarakat kerana ilmu yang disampaikan kepada mereka. Dalam kamus makna ulama adalah mereka yang mahir dan pakar dalam ilmu pengetahuan agama. Di sinilah kita dapat melihat ilmu merupakan aspek penting dalam memperwatakan seseorang itu kepada ulama. Dalam perwatakkan fizikal pula ulama biasanya berimej warak. Terdapat masalah dalam penilaian dari sudut fizkal, hal ini kerana masyarakat gemar menganggap bahawa ulama itu mestilah berserban dan berjubah. Malah yang lebih dikhuatiri ilmu dijadikan perkara no.2.

Di antara ulama di Malaysia yang saya hormati seperti Datuk Hassan Din Al Hafiz,dapatlah kita lihat imej yang ditampilkan olehnya. Beliau biasanya memakai baju melayu dan berkopiah, dan jarang sekali beserban dan berjubah. Setakat ini saya hanya melihat beliau berjubah jika ada upacara rasmi di dalam istana sahaja. Namun saya dapat merasakan bukan saya sahaja yang menganggap beliau sebagai seorang ulama malah anda juga. Mari kita menilai Datuk Hassan Din Al Hafiz dari beberapa aspek untuk kita lihat siapa dia ulama. Ketika beliau berbicara dalam soal jawab agama, ayat Al-Quran dan Hadis tidak lekang dari mulutnya dalam menguatkan hujah yang disampaikan. Di sinilah kita dapat melihat, ulama berpandukan sumber ilmu yang sahih dalam berhujah dan mengajar. Seperti saya katakan tadi Al-Quran dan Hadis adalah perkara yang didokong oleh seseorang ulama.Mereka tidak akan bercakap sesuka hati terhadap sesuatu perkara yang difikirkan betul. Sekiranya mereka membuat pendapat, mereka akan pastikan tiada yang bercanggah Al-Quran dan Hadis. Mereka berpendirian tetap dalam menegak sesuatu kebenaran dan bukanlah besok cakap lain hari ini cakap cakap lain serta berani dalam mengambil risiko kerana yang benar tetap benar.

Masalah umat di masa kini adalah mereka gagal menilai seseorang itu dengan betul mereka hanya dengar lalu terus mengamalkan disamping sikap taksub terhadap individu tertentu. Di sinilah berlakunya penyelewengan akidah atau ajaran sesat yang sering kita dengar sekarang ini, akibat daripada berguru dengan orang yang salah. Salah satu penyelewengan yang saya dapat kongsikan di sini tentang soal ganjaran dari Allah s.wt sekiranya kita mengamalkan ibadat tertentu. Sebagai contoh ketika saya menghadiri satu ceramah Maulidur Rasul, penceramah itu mengatakan tentang pendapat seorang ulama bahawa seksaan Abu Lahab di dalam kubur akan dihentikan setiap tibanya hari Maulidur Rasul atau 12 Rabiul Awal kerana dia adalah orang yang pertama meraikan kelahiran Rasulullah. Namun di situ saya terasa kurang bersetuju dengan pendapat ulama tersebut kerana “siapa” yang memberitahu ulama tersebut kerana ulama tidak menerima wahyu. Setiap ganjaran dari Allah hanya diketahui oleh Allah s.w.t sahaja dan ada sebahagiannya diceritakan oleh hadis namun itupun diwahyukan oleh Allah s.w.t baginda Rasulullah s.a.w. Seseorang itu tidak boleh mereka-mereka cerita tentang ganjaran pahala walaupun niat mereka baik. Kita tidak boleh taksub dengan individu yang kita anggap sebagai ulama malah ulama yang sebenar juga tetapi kita harus taat. Harus diingat taksub dan taat 2 perkara yang berbeza. Kerana taksub, akan membuatkan seseorang itu ikut secara membuta tuli. Tidak salah sekiranya kita bertanya apa yang kita tidak tahu dan mahu mendapat kepastian. Rasululah sendiri pernah diajukan beberapa soalan namun baginda tidak pernah menganggap umat yang bertanya itu mempersoalkan tentang Islam malah baginda Rasulullah sendiri pernah diajukkan dengan soalan yang baginda tidak tahu jawapannya namun baginda meminta petunjuk dari Allah s.w.t.

Kelebihan ulama yang saya dapat kongsikan bersama anda ialah ulama yang sebenar mempunyai akal yang begitu baik. Mereka dapat mengingat apa yang mereka pelajari disamping mereka juga menghafal Al-Quran dah Hadis malah bukan sekadar menghafal tetapi mereka juga menganalisis. Oleh kerana itulah ulama mampu berhujah dan mengajar dengan berlandaskan Al-Quran dan Hadis. Itulah kelebihan ulama yang diberikan oleh Allah s.w.t selain daripada imej mereka yang bersih dan warak. Kadangkala satu ayat Al-Quran dan hadis mereka dapat lihat lebih daripada satu hokum.

Kesimpulannya sebagai seorang manusia yang yang masih lagi mentah dalam soal agama saya menasihati kepada diri sendiri dan anda semua supaya berhati-hati dalam mempelajari agama kerana banyak golongan mengelarkan diri mereka ulama lalu mengajar perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Dalam konsep Islam yang sebenar Al-Quran dan Hadis menjadi sumber rujukan paling utama, sekiranya tiada maka dirujuk kepada kesepakatan ulama ataupun majlis fatwa seperti yang dilakukan kini. Hal ini penting kerana bagi menggelak perpecahan ummah kerana perbezaan pendapat dalam beragama. Dan sebagai manusia kita haruslah terus belajar dan jangan menganggap ilmu yang ada pada kita sekarang ini sudah cukup. Mungkin apa yang kita fahami dahulu adalah salah,lalu kita harus memperbetulkannya dengan memperbanyakan membaca dan menghadiri majlis ilmu.