Monday, July 26, 2010

SIAPA ORANG YANG BERILMU ?

Pernahkah anda menggunakan lampu picit? Macamana anda memastikan yang lampu picit itu berrfungsi? saya percaya rata-rata kita akan cuba menyalakan dulu. Saya belum jumpa dengan orang yang melihat bateri lampu picit terlebih dahulu dan kemudian cuba menyalakannya. Begitu juga ketika kita membeli pen, mesti kita akan cuba pen itu dulu kerana beranggapan dakwat yang kelihatan tidak semestinya akan berfungsi. Itulah perumpaan yang cuba saya gambarkan mengenai orang yang berilmu. Belajarlah kita setinggi mana namun jika ilmu yang kita pelajari tidak digunakan maka rugilah usaha kita selama. Seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t tidak melihat kepada fizikal dan juga paras rupa kamu, tetapi Allah melihat terhadap hati dan amalan kamu.Saya kagum melihat hadis ini, cuba kita lihat mengapa Allah lihat amal bukannya ilmu? Di sinilah kita dapat lihat orang yang berilmu dinilai dari amalanya. Dalam hadis ini juga telah memberi jawapan kepada tajuk ini,hanya orang mengamalkan ilmu yang dipelajari sahaja yang layak digelar orang yang berilmu.

Kita selalu beranggapan yang orang berilmu adalah orang yang mempunyai kelulusan universiti,benarkah begitu? Saya sendiri pernah mengalami situasi seperti ini. Saya sedar saya tidak mempunyai kelulusan universiti tetapi tidak adil jika saya distatuskan sebagai orang yang tidak berilmu. Saya pernah melihat orang berkelulusan tinggi melakukan perkara yang tidak mengambarkan dia sebagai orang berilmu. Ilmu bukanlah wujud di dalam diri seseorang itu apabila dia mempunyai sijil tetapi dilihat bagaimana ilmu itu bermanfaat kepadanya. Cuba kita lihat komputer yang menyimpan pelbagai maklumat di dalamnya tetapi adakah kita menganggap komputer itu berilmu? Sebelum itu saya ingin menegaskan disini bahawa saya bukanlah benci kepada golongan berkelulusan tinggi tetapi saya tidak suka kepada 4 golongan ini iaitu :

1. Mereka yang perasan pandai dan angkuh kerana mereka mempunyai kelulusan tinggi.

2. Mereka yang tidak mengamalkan ilmu yang mereka pelajari dan lokek untuk berkongsi ilmu mereka.

3. Mereka yang begitu terlalu merendah diri kerana tidak mempunyai kelulusan tinggi dan menganggap diri mereka bodoh kerana faktor tersebut.

4. Mereka yang tidak menghormati pandangan orang lain kerana terlalu taksub dengan diri mereka yang dikatakan mempunyai ilmu yang tinggi.

Pada pandangan saya tidak kira siapa pun kita apa yang penting kita harus sedar bahawa ilmu bukanlah wujud di sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi dan perhimpunan secara formal. Ilmu itu wujud disekeliling kita sekiranya kita membuka minda untuk belajar. Proses pembelajaran juga boleh berlaku dalam bentuk pemerhatian, berfikir, membaca dan pergaulan. Itupun jika kita bijak dalam menfaat akal untuk berfikir lebih jauh. Tan Sri Prof.Emmeritus Dr Khoo Kay Kim pernah menyatakan bahawa tidak ramai golongan penuntut universiti yang menfaatkan sepenuhnya akal untuk berfikir (lebih jauh) dan terlalu menerima apa sahaja yang diajar kepada mereka hanya semata-mata untuk lulus periksa. Ini seolah menunjukkan ilmu itu wujud tarikh luputnya bukan digunakan untuk selamanya. Langkah kerajaan untuk menukarkan konsep pembelajaran kepada konsep yang memperbanyakkan berfikir seharusnya mendapat sokongan dari semua pihak. Hal ini kerana betapa pentingnya kita membuka minda dalam menganalisiskan sesuatu perkara agar kita lebih ke depan dalan melihat sesuatu keadaan.

Kita seharusnya dapat membezakan diantara dunia teori dan pratikal, di mana pratikal lebih kepada realiti. Saya tahu bagaimana nak melakukan sesuatu jika kita tiada teorinya. Namun kita boleh mempunyai teori sekiranya kita belajar dari pratikal. Maksud saya disini ialah belajar dari pengalaman. Harus saya ingatkan disini, orang yang berpengalaman bukanlah mereka yang berada di tempat tersebut terlalu lama tetapi mereka yang bijak menggunakan pengalaman dalam memajukan diri sendiri dan belajar dari pengalaman untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik itulah yang dikatakan orang yang berpengalaman. Experience not the best teacher but only the teacher. Orang bijak menggunakan pengalaman adalah orang yang mempunyai pemerhatian yang baik. Mereka juga sentiasa belajar dan terus belajar dalam menambah ilmu di dalam diri mereka. Kita tidak boleh menganggap apa yang kita belajar di sekolah dan pusat pengajian tinggi sudah cukup pada kita kerana proses pembelajaran secara sedar atau tidak sentiasa wujud selagi kita masih hidup. Cuba kita lihat seorang doktor pakar, mereka takkan menjadi sehebat itu tanpa menempuhi cabaran dalam realiti dunia perubatan. Duduk dengan hanya menghadap buku tanpa langsung untuk berfikir dan berani untuk mengkaji dan berdepan dengan realiti amat merugikan dan mustahil untuk memantapkan ilmu yang ada. Begitu juga menjadi pemimpin, kita akan belajar menjadi pemimpin yang baik apabila kita telah menjadi pemimpin. Dari situlah kita akan lihat apa yang patut kita lakukan.

Orang berilmu biasanya mempunyai daya tarikan kepada yang lain. Mereka dihormati dengan ilmu yang dimiliki tetapi AWAS kita juga boleh rosak dengan ilmu yang kita miliki sekiranya kita tidak menggunakan untuk jalan yang betul. Saya teringat kisah kumpulan penganas JI yang mempunyai ahli dari kalangan pensyarah. Mengapa pensyarah selaku orang yang berilmu ini mudah terikut? Hal ini kerana pada pandangan saya mereka tidak mempunyai ilmu yang melarangnya dari melakukan tindakan sedemikian. Jelaslah bahawa banyak ilmu yang perlu kita belajar dalam menjadikan diri kita lebih matang, professional dan sentiasa berada di landasan betul. Seorang arkitek yang mampu membina plan yang menarik tetapi adakah dia orang yang berilmu sekiranya akhlaknya tidak sehebat jawatannya?

Rupanya banyak benda yang boleh kita bahaskan dalam melihat kriteria mereka yang berilmu. Mereka yang berada di puncak jangan sesekali menganggap orang dibawah mereka tidak mempunyai ilmu. Mungkin mereka berjawatan rendah tetapi mereka jaga solat dan akhlak mereka kerana ilmu yang ada pada yang membentuk diri mereka. Mungkin mereka tidak punyai banyak ilmu sebagaimana orang diatas mereka tetapi mungkin mereka adalah “master” dalam bidang mereka. Bertukar-tukar pandangan dengan orang lain membuatkan kita melihat ilmu itu dari konteks yang lebih luas. Jangan terlalu menjumudkan fikiran sebaliknya bukalah minda mungkin kita tidak tahu apa yang orang lain tahu, dan sekiranya orang lain salah kita sebagai orang berilmu seharusnya membetulkan mana yang perlu.

1 comment:

ruqaiyah_shr said...

4 golongan yg dihighlight kan oleh blogger ni memang sama la ngan golongan yg aku x suka... selalu x ssedar diri...tapi apa pun knowledge is power.....