Thursday, June 24, 2010

DI SEBALIK KEMEGAHAN SEKOLAH CINA DAN KEANEHAN SEKOLAH AGAMA.

Baru-baru ini saya terbaca satu artikel di dalam sebuah majalah berkaitan tentang sekolah agama. Dimaksudkan di sini bukan “Sekolah Kebangsaan Agama” tetapi sekolah agama yang biasa atau dikenali sebagai sekolah agama waktu petang (bahasa orang Johor). Artikel itu melaporkan tentang keadaan sekolah agama di negeri Selangor yang begitu daif dengan kemudahan asas yang begitu terhad dan menyedihkan. Berbeza di negeri Johor kebajikan sekolah agama diambil berat kerana sistem sekolah agama telah bermula semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan kerana itulah sistem sekolah agama di Johor dilihat lebih teratur. Ketika itu sekolah agama dikenali sebagai madrasah. Fungsi utamanya pada waktu itu lebih menekankan soal pendidikan agama dalam menyekat penyebaran ajaran Kristian, kerana pada waktu itu sistem pendidikan dikuasai oleh penjajah Bristish yang membuatkan masyarakat melayu pada waktu bimbang penyebaran agama Kristian melalui pendidikan tersebut. Mengakui pendidikan di sekolah Inggeris amat perlu untuk masa depan anak-anak mereka, pendidikan agama tidak diketepikan sebaliknya dititikberatkan melalui kelas tambahan agama dimadrasah. Setelah sekian lama sistem terbaik ini masih lagi diteruskan, malah ada negeri-negeri di Malaysia yang mula mengikut sistem pendidikan ini, walaupun tidak diwajipkan tetapi pemikiran orang melayu dalam menitikberatkan didikan agama kepada anak-anak mereka masih lagi di paras kesedaran. Tetapi jangan tahu belajar sahaja,pratikan juga. Kerana menurut hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim “Daripada Abu Hurairah r.a Sesungguhnya Allah s.w.t, tidak meliaht kepada fizikal dan juga paras kamu, tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.

Saya tidak pasti sama ada keadaan pembelajaran dulu sama seperti sekarang, di mana seorang pelajar mempunyai 2 sekolah untuk dipenuhi dalam sehari (waktu persekolahan).Walau bagaimanapun pada zaman sekarang pendidikan sekolah agama telah dikemaskini dan mantapkan lagi. Dari penggunaan nama madrasah sehinggalah ditukarkan kepada sekolah agama, serta ditambah dengan peperiksaan akhir tahun dimana sekiranya gagal maka tidak untuk ke peringkat pengajian seterusnya dan terpaksa mengulang pembelajaran sehingga lulus. Sistem pendidikan ini bercorakkan seperti didikan tambahan, kerana kerajaan sedar pendidikan agama Islam begitu meluas dan bukan sekadar sembahyang, berpuasa, mengaji, dan berzikir tetapi juga meliputi ekonomi (muamalat), hukum sosial (jenayat, faraid, munakahat), ibadat-ibadat yang diterangkan dengan lebih teperinci. Berbeza di negeri lain yang baru melaksanakan sistem pendidikan tambahan ini memanglah dianggap sedikit kelam kabut. Maklumlah seperti yang saya katakan tadi tidak seperti di negeri Johor yang telah sekian lama bermula. Namun sebagai seorang Islam saya agak sedih dengan kemudahan asas yang saya lihat dalam artikel itu. Tidak terkecuali di Johor kerana sebelum ini juga saya mendengar laporan berita tentang masalah yang sama, walaupun tidak seteruk di Selangor namun sedikit sebanyak memberi persepsi kurang baik dikalangan masyarakat bukan Islam.

Tidak seperti sekolah kebangsaan dan menengah, sekolah agama di bawah peruntukan enakmen negeri, maka segala peruntukkan sepenuhnya diselia oleh kerajaan negeri tanpa campur tangan kerajaan pusat. Saya kurang pasti dengan sekolah cina dan tamil adakah dibawah senarai negeri ataupun dalam senarai bersama. Namun konsep pendidikan sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, dan sekolah kebangsaan ada perbezaannya iaitu keperluan dalam tuntutan masyarakat. Tetapi tidakkah anda pelik dengan pembangunan sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang begitu pesat lebih dari sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan yang diselia oleh kerajaan pusat dan negeri pun tidak sehebat begitu. Apa rahsia sekolah cina dari mana mereka mendapat peruntukan? Arwah ayah saya merupakan bekas guru kepada 3 buah sekolah cina, sedikit sebanyak saya dapat berkongsi dengan anda tentang peruntukan sekolah tersebut. Selain itu juga saya berkawan dengan ramai pelajar dari sekolah kebangsaan cina lalu dari situlah saya dapat jawapan untuk saya kongsikan kepada anda didalam artikel ini.

Seperti sekolah kebangsaan dan menengah, sekolah cina juga mempunyai Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), namun bak kata pepatah lain padang lain belalang, lain tempat lainlah perlaksanaannya. Hubungan yang rapat dimainkan dan peranan oleh ibubapa dalam membantu pihak sekolah untuk pendidikan anak-anak-anak mereka patut kita puji. Mereka sedar jika mengharap peruntukan dari pihak kerajaan belum tentu dapat, jika dapat pun bukanlah seperti yang diharap-harapkan. Banyak sekolah yang kerajaan nak jaga jadi faham-fahamlah ya, bukannya kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab. Atas dasar kesedaran itu, munculah dermawan-dermawan dari ibubapa yang membantu pihak sekolah bagi mendapatkan peruntukkan untuk pembangunan sekolah. Selain itu, wakil-wakil rakyat yang berbangsa cina turut membantu menyumbangkan dana untuk sekolah ini. Anda rasa pelik tak?

Saya sangat berasa pelik, mengapa sekolah agama tidak melakukan cara yang sama dalam mendapatkan peruntukkan untuk pembangunan sekolah mereka. Saya berani berkata begini kerana saya 8 tahun mendapat pendidikan di sekolah agama, mengapa saya lebih setahun kerana saya sangkut setahun ketika darjah satu. Saja menyelitkan unsur humour dalam artikel ini. Dalam 8 tahun itulah saya mendapati ada sikap sebahagian (bukan semua) guru agama yang cuba “mengerejakan” sekolah agama. Mungkin saya agak keterlaluan tetapi itulah hakikatnya. Ketika zaman renaissance di eropah, paderi-paderi gereja menentang sains dan teknologi yang pada ketika itu begitu memonopoli minda sosial masyarakat eropah. Mereka menanggap sains ialah keduniaan dan sekular yang menyesatkan manusia. Namun pada zaman saya itulah ayat yang digunakan oleh sebahagian guru-guru sekolah agama. Apakah mereka tidak kenal Islam dengan lebih terperinci. Saya bukan mereka cerita kerana perkara ini berlaku di depan mata saya sendiri malah bukan sekali, tetapi fahaman salah tentang Islam banyak berlaku di sekolah agama saya waktu itu. Contoh ayat-ayat yang paling popular “ Ilmu sekolah kebangsaan ilmu orang kafir, dia hanya membawa kamu semua ke neraka” dan malaikat tidak akan bertanya soalan matemaik, soalan sains di dalam kubur nanti”. Itulah ayat yang dapat saya kongsikan untuk anda bagi menilai salah satu anggapan yang salah tentang Islam. Saya bukan mengutuk tetapi sekadar melahirkan tanda tidak setuju saya. Saya percaya jika saya menangkat tangan lalu membantah pada waktu itu, nescaya saya akan digelar kafir nanti. Berdasarkan contoh situasi yang saya beri dapatlah kita mengngagak mengapa pembangunan sekolah agama begitu suram.

Walaupun sekolah agama diibaratkan sebagai didikan tambahan namun, keselesaan,kemudahan dan kepekaan masyarakat perlu diambil serius. Mentaliti masyakat kita yang menganggap Islam lebih kepada kesederhanaan telah disalah tafsir. Kederhanaan dalam Islam sebenarnya dilihat dari aspek yang tidak bermegah-megah dan membazir dalam merasai nikmat dunia, tetapi dalam kes ini adalah dikategorikan sebagai kemiskinan dalam keselesaan mendapat pendidikan. Tidak semestinya kekayaan menjerumus kepada keduniaan dan kemiskinan pula mendekatkan diri kepada akhirat. Sikap sebilangan guru sekolah agama yang begitu mengkritik sistem sekolah kebangsaan dan menengah seolah-olah seperti haram ditiru. Kerana itulah sekolah agama saya pada waktu itu tiada PIBG. Alhamdulilah,zaman berganti zaman, generasi baru mengantikan generasi lama telah memperlihatkan perubahan mentaliti guru-guru sekolah agama, mereka belajar apa yang dilakukan oleh pentadbiran sekolah kebangsaan, dalam menjadi sistem pendidikan sekolah agama lebih tersusun. Saya mencadangkan sekolah agama perlu juga memohon sumbangan dari ibubapa seperti disekolah cina. Tidak salah meminta bantuan kewangan dari keluarga demi kepentingan pendidikan anak-anak mereka kerana bersedekah memang sangat dituntut di dalam Islam. Dan ibubapa pula tidak perlulah cerewat untuk menghulur. Tetapi apa yang merisaukan saya adakah masyarakat melayu kita seperti masyarakat cina? Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang ketika itu menjadi menteri pelajaran pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak disangka-sangka dan mungkin membuatkan sebahagian orang melayu marah. Lebih kurang begini kenyataan beliau Kalau nak bayar, bayar kalau tak nak sudah,kalaulah kerana RM 20 menjadi bebanan kepada ibubapa daripada masa depan pendidikan anak-anak mereka tak perlulah bayar. Saya berasa hairan bila melihat ibubapa pelajar sekolah cina yang boleh turun bersama-sama membersihkan kawasan sekolah ketika musim banjir” . Mungkin ada yang marah tetapi pada saya mengapa terlalu berkira kerana duit itu adalah untuk kemudahan anak-anak mereka. Cubalah kita munasabah diri, pernahkah kita menggunakan wang kita sesuatu perkara dimana kita tidak mati jika tidak melakukan perkara itu seperti beli baju untuk dipakai 2 kali, lepas tu terperap kat almari, tengok cerita Razak Mohaiden ke, beli rokok 20 batang ke dan macam-macam lagi. Cuba kita bayangkan lagi adakah rugi, jika kita sedekahkan duit itu kepada pembangunan sekolah demi kelesaan anak-anak kita, malah sedekah kita itu tidak mati begitu sahaja malah amalan itu akan membantu kita di akhirat kelak. Segala amal yang baik walau sepatah kata Tuhan akan memberi balasan berlipat ganda. Satu lagi yang saya nak kongsi yang tiada kena mengena dengan topik ini ialah sikap orang melayu yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah agama dengan alasan sijil sekolah agama tidak laku dalam pasaran kerja. Ini namanya pemikiran cetek, semua ilmu berguna memang diakui ada yang berjaya tanpa sijil sekolah agama tetapi agama membentuk keperibadian seseorang. Mahukah kita melihat kejayaan anak-anak kita dari rumah orang-orang tua ataupun berjaya tetapi dengan Allah semakin jauh, sudah tentu di akhirat alam yang kekal abadi mereka akan tersungkur. Kalaulah itu alasan mereka dengan mengaitkan terhadap pasaran kerja kenapa belajar anak gosok gigi sedangkan yang nak digunakan akal bukannnya gigi untuk berfikir.
Memang saya belum ada anak lagi, mungkin ada yang cakap saya tak tahu apa-apa pasal pendidikan anak-anak. Tidak mengapalah, walaupun panas hati dan telinga. Jika saya ada anak suatu hari nanti saya takkan berkira untuk membantu pihak sekolah dalam membantu memartabatkan pendidikan sekolah lebih-lebih lagi jika sekolah itu ke arah kebaikan masyarakat melayu khususnya. Sekian

No comments: