Thursday, June 24, 2010

TAKSUB

Baru-baru ini saya menonton satu video ceramah agama yang disampaikan oleh seorang tokoh politik melalui laman web youtube. Tokoh itu mengulas topik tentang perlantikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai nabi dan rasul kepada umat manusia. Saya sangat tidak bersetuju dengan kenyataan penceramah tersebut dimana dia mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w merupakan orang yang biasa sahaja sebelum dilantik menjadi rasul dan ada juga menyebut bahawa Allah s.w.t memilih rasul dengan melihat siapa yang paling layak dikalangan penduduk Mekah pada waktu itu dan akhirnya Nabi Muhammad dipilih. Apakah ulama perasan beranggapan bahawa perlantikan rasul dibuat seperti pemilihan seorang senator, ketua darjah, ketua belia bahagian dan sebagainya,dari mana dia belajar? Kenyataan penceramah cap ayam ini bukan sahaja salah, malah boleh dianggap juga menghina urusan Allah s.w.t. Namun bukan ini yang saya mahu sampaikan disini, apabila saya melihat komen para penonton di laman youtube tersebut, nampaknya bukan seorang sahaja yang membuat kesilapan kerana ada yang menyokong kenyataan tersebut. Mengapa mereka menyokong? Inilah yang dikatakan“TAKSUB”.

Sebelum ini juga saya pernah menonton satu video dari laman web yang sama tentang seorang tokoh politik tanpa berselidung menyatakan bahawa dia berkawan baik dengan seorang tokoh Yahudi yang begitu anti kepada Islam. Namun saya agak begitu fokus dengan 2 komen yang diberikan oleh penonton yang pertama “ berkawan dengan Yahudi lebih baik dari berkawan dengan orang UMNO” dan yang ke-2 “ Kejahatan terhadap orang Yahudi adalah rekaan dari pihak UMNO”. Wah… nampaknya dosa orang Yahudi terhapus secara langsung kerana pemimpin kesayangan mereka berkawan dengan orang Yahudi. Kenapa ini berlaku? Inilah “TAKSUB”, pemikiran yang semakin menjalar di dalam minda umat manusia.

Dalam Islam kita tidak pernah diajar supaya taksub kepada seseorang walaupun dengan Rasulullah s.a.w sendiri. Harus kita ingat taksub dan taat merupakan dua perkara yang berbeza. Taat membawa kepada suatu keadaan yang tidak kita tidak menentang kearah sesuatu kebaikan, sekiranya ada sesuatu yang kita ingin sampaikan, ingin mendapat kepastian ataupun kurang bersetuju kita harus mengutarakan kepada orang yang kita taati itu. Berbeza dengan taksub dimana salah ataupun betul kita akan ikut sahaja tanpa langsung untuk berfikir sejenak. Jika betul tidak mengapa, tetapi jika apa diperkatakan itu salah maka buruk padahnya yang akan menimpa masyarakat. Rasulullah merupakan seorang yang mendapat wahyu,mukjizat, dan kesempurnaan yang ada dirinya, masih tetap menggunakan Majlis Syura dalam pentadbiran. Ini menunjukkan bahawa baginda sendiri meminta pandangan para sahabat dalam membuat keputusan dan tidak mengunakan statusnya sebagai rasul pilihan Allah dalam membuat setiap keputusan sendiri. Ketika mengajar pula Rasulullah s.a.w, sering ditanya oleh umatnya pada waktu itu namun baginda tidak pula marah dan mengeluh, baginda menjawab seperti biasa. Dan sekiranya baginda tidak dapat menjawab baginda akan memohon petunjuk dari Allah s.w.t, baginda tidak menghentam sahaja, walaupun pada waktu kita tahu penduduk Mekah akan mempercayai apa sahaja yang diperkatakan oleh baginda. Namun,itulah Rasulullah, baginda berjuang diatas nama Allah bukan untuk kepentingan populariti dan sanjungan. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang boleh kita renungkan bersama Drpd Rafi bin Kharij r.a Sesungguhnya aku (Rasulullah s.a.w) hanyalah seorang manusia. Jika aku menyuruh kamu dengan sesuatu dari urusan agama maka terimalah dia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu urusan (urusan dunia) maka aku hanyalah seorang manusia.”

Berdasarkan contoh ini dapatlah kita membezakan diantara 2 perkara taat dan taksub. Ada dikalangan umat Islam mengamalkan sikap berlebihan di dalam agama. Ajaran sesat merupakan diantara beberapa kesan akibat punca ketaksuban kepada individu tertentu. Tidak salah sekiranya kita bertanya sekiranya kita mahu mendapat kepastian. Pernah berlaku kepada saya kita saya di bangku sekolah. Saya pernah bertanya kepada guru saya tentang bab peyembelihan, oleh kerana guru saya tidak dapat menjawab maka terus dia menyelarkan saya sebagai seorang yang mempersoalkan tentang hukum Islam. Saya bukan mempersoalkan tetapi hanya ingin tahu namun disinilah kita dapat melihat fahaman yang salah tentang Islam yang secara tidak langsung menjerumus kepada unsur ketaksuban. Menurut satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh imam Muslim dan Al-Bukhari “ Daripada Saad bin Abi Waqqash r.a Rasulullah bersabda sesungguhnya dosa orang Islam yang paling besar pada orang Islam ialah orang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan ke atas manusia lalu ia diharamkan kerana pertanyaanya.” Rasullulah sendiri tidak pernah menyelar umatnya sekiranya mereka bertanya walaupun soalan itu agak keterlaluan. Ajaran Islam mengajar kita menganalisis sesuatu perkara melalui analisis kita dapat melihat lebih daripada yang kita sangkakan. Dan kerana inilah sains dan teknologi berkembang di dunia disebabkan teori-teori sains yang terdapat di dalam Al-Quran dan juga Hadis. Tidak hairanlah ada diantaranya ayat Al-Quran dan Hadis itu begitu ditujukan oleh orang yang hidup pada masa akan datang ketika zaman Rasulullah s.a.w. Taksub juga boleh membawa kita kepada syirik, kerana apabila kita memuja dan mengagungkan seorang lebih dari sepatutnya. Seperti kita lihat dakwaan salah seorang pengikut kumpulan tertentu yang menyatakan ketua mampu menyembuh penyakit, berkuasa menjatuhkan musibah, mampu mengetahui masa hadapan dan macam-macam lagi, seolah-olah kekuatan mereka setanding dengan Tuhan, Nabi sendiri pun tidak pernah bercakap begitu walaupun nabi mempunyai mukjizat.

Seperti yang pernah saya katakan dulu, sebagai penghuni di zaman yang begitu mencabar ini kita perlu memperbanyakan ilmu, agar terhindar dari perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Kita tidak boleh berguru dengan seseorang sahaja dan terus menganggap apa yang ada pada kita sudah mencukupi. Ini juga dikatakan taksub, iaitu taksub kepada diri sendiri. Kita perlu ingat bahawa kita sewajar taat kepada agama bukan taksub kepada agama. Saya berkata begitu kerana ada diantara ajaran-ajaran yang disampaikan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Apabila kita taksub kita tidak melahirkan sesuatu untuk kita mendapatkan ulasan yang lebih lanjut dan hanya menerima apa sahaja yang dikatakan kepada kita. Seperti yang boleh saya berikan di sini ialah membaca Al-Quran. Ada diantara kita membaca Al-Quran kerana disuruh dan lantas kita terus mengikutnya tetapi kita tidak terfikir mengapa kita perlu membaca Al-Quran sehingga ada yang membanggakan mereka sudah khatam lebih dari 10 kali. Sekiranya kita bertanya maka jawapannya “ Ikut saja, kau nak masuk neraka” Ada satu peristiwa yang saya teringgat apabila ada seorang artis yang ditahan kerana meminum minuman keras lantas ibunya tidak percaya kerana anaknya itu telah beberapa kali khatam Al-Quran. Di sinilah kita dapat melihat bahawa masyarakat kita masih menganggap Al-Quran itu hanya sekadar untuk dibaca tetapi tidak untuk diperlajari, dianalisis, dan diamalkan. Al-Quran bukan diturunkan hanya untuk dibaca sahaja sebab itulah Allah berfirman Al-Quran ini adalah panduan untuk manusia. Bagaimanakah untuk menjadi panduan sekiranya kita tidak tahu apa yang ada di dalam Al-Quran. Seperti yang saya tekankan tadi, tidak salah jika seseorang itu bertanya “mengapa” “apa” dan “kenapa”. Kerana Islam sentiasa ada jawapannya. Tidak bersetuju dengan seseorang bukanlah dikatakan sebagai menentang tetapi kerana ingin mendapat kepastian ataupun menegakkan fakta dan kebenaran yang tidak kita diketahui. Sekian.

1 comment:

Nur said...

"Rasullulah sendiri tidak pernah menyelar umatnya sekiranya mereka bertanya walaupun soalan itu agak keterlaluan. Ajaran Islam mengajar kita menganalisis sesuatu perkara melalui analisis kita dapat melihat lebih daripada yang kita sangkakan."


ana setuju dgn enta..celakalah bagi golongan yg menolak sunnah dan menghina Rasulullah.betul la ape yg enta kata, ape die ingat pelantikan jawatan skrg ni sama dgn pelantikan para nabi dan para rasul ke..?samala gak dgn politik, ingt sama ke politik skrg dgn politik pd zaman Rasulullah dulu tu..sgt jauh beza lau nk compare but tak mustahil untuk capai..tp dgn adanya gol. umara dan umara yg snts berpegang pd Alquran dan assunnah, ijmak dan ijtihad serta bergabung dan bersatu dalam membangun daulah, insyaAllah, pasti islam akan capai kegemilangannya sprti dulu..wallahu'alam..