Sunday, May 23, 2010

Malunya Saya Dengan Dr.Ridhuan Tee




Jangan fikir yang bukan-bukan terhadap saya berikutan dengan tajuk saya tulis. Memang saya malu dengan tokoh ilmuan ini tetapi bukan kerana sikapnya tetapi kerana perjuangannya dalam penulisan. Apakah yang membuatkan saya malu terhadap beliau? Dr. Ridhuan Tee merupakan seorang saudara baru, beliau telah memeluk Islam sejak beliau muda lagi. Namun pengIslaman beliau tidaklah bersama-sama dengan keluarga yang tersayang. Sewaktu beliau pengumuman hasratnya untuk memeluk Islam, beliau mendapat tentangan hebat dari kaum keluarganya, walaupun begitu beliau tetap meneruskan hasrat sucinya itu. Seperti keluarga orang cina yang lain penerimaan pada awalnya memang begitu sukar tetapi Islam tidak mengajar kita mememutuskan pertalian walaupun berlainan agama. Kerana itulah beliau masih rapat dengan keluarganya walaupun hanya dia dan adiknya sahaja yang beragama Islam. Itulah kehebatan Islam yang begitu menitik beratkan soal perhubungan sesama manusia. Namun di sini saya mahu anda melihat tentang perjuangan Dr. Ridhuan Tee samada dalam penulisannya di blog mahupun juga ceramah-ceramah beliau.
Sebelum ini Dr. Ridhuan Tee lebih dikenali di Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang ditayangkan di TV1 pada masa dahulu. Namanya mula meningkat naik apabila beliau menyerang pemikiran “Ultra Kiasu” dikalangan ahli politik secara terbuka. Kelantangan beliau mengkritik dan menentang sekeras-kerasnya kepada sesiapa yang mencuba mempertikaikan hak-hak orang melayu di muka bumi Malaysia ini patut dipuji dan dihargai oleh orang melayu khususnya.Mana tidaknya, walaupun Dr. Ridhuan Tee beragama Islam namun beliau tetap berbangsa cina. Tidakkah kita berasa malu apabila bangsa lain memperjuangkan dan mempertahankan hak kita yang semakin diancam kini.
Melihat karenah bangsa melayu yang sukar untuk bersatu sebaliknya mencari pula jurang perpecahan dan alasan untuk bersatu. Malah yang lebih menyedihkan lagi terdapat juga pemimpin melayu yang sanggup menggadai maruah bangsa dan agama demi kepentingan masing-masing. Selain itu melihat sikap orang melayu sendiri yang tidak peka terhadap peranan kepada Negara menambah lagi rasa malu kepada beliau. Orang melayu lebih suka berhibur dan beseronok dengan perkara-perkara tidak datang mendatangkan manfaat. Seperti kita lihat mat rempit-mat rempit, siapa yang menopoli aktiviti tidak sihat ini, kalau bukan orang melayu. Itu belum lagi saya sentuh tentang isu bohsia, bohjan,budaya lepak,dadah, gothic dan sebagainya. Mengapa mereka tidak peka dan perhatin tentang apa yang akan terjadi di masa hadapan sekiranya mereka lebih suka berseronok dan terus lalai diatas kesenangan yang mereka kecapi selepas kemerdekaan.Bukanlah saya menyuruh menyertai politik tetapi cukuplah sekadar memastikan bumi Malaysia ini sentiasa terus diterajui oleh orang melayu. Memang tidak semestinya Islam itu orang melayu tetapi orang melayu memang sinonim dengan Islam kerana Islam banyak mengajar melayu supaya hidup dengan lebih berkualiti. Sekiranya orang Islam yang menerajui Negara ini yang bukan Islam tidak perlu gentar kerana Islam menitik beratkan tentang keadilan untuk semua kaum, ini semua boleh dibuktikan melalui sejarah pemerintahan khalifah di mana hak sesuatu kaum akan terus dipelihara selagi tidak mendatang kesan buruk kepada sesebuah Negara itu.
Namun dimanakah anak melayu kita, mereka terlalu sibuk untuk popular seperti mana kita lihat “berlambaknya” rancangan realiti TV di Negara ini. Menangis seperti hilangnya masa hadapan sekiranya tidak terpilih walaupun hakikatnya potensi tidaklah sehebat mana.Kalau adapun yang betul-betul memperjuangankan martabat bangsanya terlalu sedikit. Jika kaji statistik pendapatan perkapita di Malaysia bangsa melayu masih lagi ditahap kurang memuaskan di tangga no.3 selepas orang Cina dan India. Namun apakah orang cina tidak suka kepada orang melayu? Pada pandangan saya TIDAK saya juga mempunyai sahabat yang berbangsa cina. Orang cina akan menghormati orang melayu sekiranya orang melayu menjadi sebuah bangsa yang berjaya dan hebat. Seperti pandangan pemimpin yang lain orang melayu seperti masih lagi mengharapkan bantuan sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada bangsa lain. Memang benar melayu penduduk asal maka mereka patut menerima banyak keistimewaan namun keistimewaan ini membuatkan kita semakin lemah kerana asyik terlalu bergantung kepada bantuan dari kerajaan sahaja. Tidakkah mereka fikir bahawa keistimewaan itu akan hilang sekiranya bangsa melayu itu tidak lagi menjadi tuan dibumi sendiri. Adakah mereka mampu hidup tanpa bantuan sekiranya bukan melayu yang memerintah suatu hari nanti ?
Keiklasan penentangan Dr. Ridhuan Tee terhadap pemikiran “Ultra Kiasu” perlu diberi perhatian oleh orang melayu walaupun pemikiran ini datang dari orang sebangsanya sendiri. Pemikiran “Ultra Kiasu” seperti yang digambarkan seolah-olah menyeru bangsa lain sedar yang bangsa melayu tidak kuat, tidak adil dan menindas. Walhal kenyataan ini adalah satu fitnah yang biadap sekali. Kerana sekiranya melayu itu tidak adil manakah mungkin bangsa India dan cina dapat hidup dengan aman dan makmur di Malaysia ini. Mereka bebas beragama, mereka bebas mengadakan perayaan mereka, mereka bebas megumpul kekayaan dan mereka bebas menjadi bos kepada orang melayu dalam sebahagian sektor swasta. Janganlah salahkan orang Cina dan India dalam hal ini, Mereka sebenarnya telah dihasut oleh golongan “Ultra Kiasu” supaya mereka-mereka ini dapat menjadi pemimpin dan orang besar. Lalu timbullah tuntutan yang pelik-pelik dimana sekiranya tidak ditunaikan maka dijadikan modal untuk pemikiran “Ultra Kiasu” ini. Memang kita mengakui orang cina banyak menyumbang dalam pembangunan Negara namun terlalu kasihan kerana mereka telah diperalatkan oleh golongan ini.
Mujurlah ada Dr.Ridhuan Tee yang menyedarkan orang melayu tentang kelalaian mereka yang akan merugikan masa depan anak-anak mereka sendiri suatu hari nanti. Entah bilalah orang melayu akan bersatu menjadi sebuah bangsa kuat dan dihormati sebagaimana kita lihat melalui sejarah tentang perpaduan orang melayu menentang menentang Malayan Union. Mereka mengusir penjajah dengan kehebatan maruah yang berharga tanpa menggunakan senjata pun. Sebagai penutup saya mengambil kata-kata dari Tun Dr. Mahathir “Adakah logik sekiranya kita mempunyai rumah tetapi kita hanya mengharapkan orang lain untuk menguruskan rumah kita manakala kita asyik duduk mengoyangkan kaki”. Oleh itu orang melayu ini tanah kita maka kita perlu menyumbang lebih daripada bangsa lain.

1 comment:

Nur said...

sy pun malu..lebih malu lagi bila memikirkan ape yg kiter dah perbuat utk Islam..sangat sedikit..sebesar kuku pun, wallahu'alam..mg sama2 salu dapt muhasabah diri n do something 4 de best of islam esp for our new generation soon..insyaAllah..^_^..~